Ingat lagi kes kantoi seorang penerima elaun bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) rupanya memiliki Proton X70?
Lelaki yang berjubah serta berkopiah dan duduk di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas untuk meminta simpati orang ramai yang lalu lalang sudah pun dikenakan tindakan.
Selepas hampir sebulan ‘ditangkap’ JKM Maran, Pahang akhirnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil tindakan tegas.
Kerajaan sudah pun bertindak memberhentikan bantuan elaun orang kelainan upaya (OKU) kepada individu terbabit.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pihaknya turut meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji.
Itu sebagai jaminan untuk dia tidak mengemis lagi selain menghentikan elaun sebanyak RM450 bermula bulan ini.
“Siasatan lanjut mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.
“Oleh sebab itu, individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Noraini menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan mengenai tindakan KPWKM terhadap seorang OKU yang menerima bantuan JKM, namun melakukan aktiviti mengemis dan memiliki sebuah Proton X70.
Mengulas langkah jangka panjang bagi menangani golongan papa dan gelandangan, Noraini berkata, pihaknya sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menambah baik pengendalian isu berkenaan.
Februari lalu, heboh apabila lelaki OKU fizikal (kedua-dua belah tangannya tidak normal) itu mampu meraih RM500 sehari dengan hanya mengemis selama empat hingga lima jam.
Hasil pendapatan daripada aktiviti mengemis itu dia hinggakan mampu memiliki sebuah kereta model Kenderaan Sukan Utiliti (SUV) jenis Proton X70.
Semasa pihak penguatkuasa JKM Maran menghampiri pengemis itu bulan lalu dan bertanyakan tujuan beliau meminta sedekah, dia berlakon seperti seorang yang pekak dan bisu sambil memegang beg kertas yang dipenuhi kepingan duit kertas.