Kerajaan dan PBT berkaitan tak payah lagi buat ‘mall’ baru memandangkan trend Generasi Z (Gen Z) buat belian melalui platform e-dagang.
Menurut Ketua Pemasaran dan Pemacu Perniagaan Shopee Malaysia, Ming Kit Tan, sebanyak 86 peratus daripada Gen Z cenderung membeli produk menerusi platform e-dagang termasuk miliknya.
Katanya, pembeli menginginkan hubungan langsung dengan individu, sambil menikmati kandungan yang informatif dan menghiburkan ketika membeli-belah dalam talian.
Jelasnya, 71 peratus responden juga secara aktif mencari ulasan dan demonstrasi produk, menggunakan ciri langsung seperti Shopee Live untuk membuat pembelian yang berinformasi.
“Mereka memberi keutamaan kepada huraian produk yang terperinci, mencari cadangan yang disesuaikan dengan keperluan dan ulasan langsung daripada pempengaruh untuk pengalaman beli-belah yang lancar,” katanya dalam kenyataan.
Dapatan itu menerusi kaji selidik hasil kerjasama Shopee dan konsultan, Kantar.
Dalam pada itu, Ming berkata, kandungan autentik dan Affiliates Shopee memberi pandangan dan nasihat peribadi terhadap kebolehpercayaan produk, diskaun dan keutamaan untuk setiap pembelian.
Selain itu katanya, Gen Z juga tertarik kepada ciri-ciri seperti diskaun dan ganjaran yang eksklusif kepada Shopee Live.
“Mereka secara aktif menyertai siaran langsung yang mempunyai misi pelepasan Shopee Coins, dan mencari pertunjukan permainan menarik dan hadiah menarik di Shopee Mamak.
“Oleh itu, kami mencipta kandungan yang menarik dan menghibur yang khusus direka untuk merangkumi pilihan Gen Z,” katanya.
Tambah Ming, komitmen Shopee terhadap personalisasi meluas melebihi platformnya.
“Siaran langsung, (ia) memberi kuasa kepada kedua-dua pengguna dan penjual untuk membina kepercayaan dan hubungan melebihi bidang digital.
“Sementara Shopee terus memperluaskan ekosistemnya untuk menyokong landskap e-dagang yang berkembang pesat, Affiliates Shopee memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna dimaklumkan dengan baik sepanjang perjalanan beli-belah mereka,” katanya.
BACA JUGA Berhabis banyak duit nak besarkan anak, dua faktor ini penyebab kos cecah lebih RM1 juta