Tak payahlah nak pertikai isu pengampunan Najib, banyak jasa beliau kepada negara-PM

Isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak tidak perlu dipertikaikan kerana sumbangan bekas perdana menteri itu kepada negara.

Asas Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberi pengurangan hukuman kepada Datuk Seri Najib Razak daripada 12 tahun menjadi 6 tahun dan dibebaskan pada 2028.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertama, apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dipersoal kenapa permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan dibincangkan terlalu awal sedangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu baharu sahaja menjalani hukuman.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang sudah dijatuhi hukuman boleh mengemukakan permohonan pengampunan.

“Saya mengakui tanggungjawab itu, jadi kenapa ditanya Perdana Menteri ambil sikap kemukakan rayuan Najib begitu awal, saya kata sebaik sahaja saya dapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan.

“Mesyuarat pertama 9 Disember (tahun) lalu, saya hadir kerana saya masih bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan berikutnya (adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Dr Zaliha Mustafa,” katanya.

Beliau juga berkata, tidak wajar untuk menyalahkan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Peguam Negara atau Lembaga Pengampunan kerana keputusan itu diputuskan oleh baginda.

Katanya, sesiapa sahaja tidak boleh menuntut penjelasan daripada Lembaga Pengampunan yang dipengerusi dan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Itu kena faham, ia bukan diputuskan Lembaga Pengampunan, kalau nak tanya, sila buat memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Anwar meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan Najib, dihentikan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib Razak dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong itu adalah muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.

Baca juga: Surau di ‘langit’ paling tinggi di dunia pada ketinggian 483 meter dari aras laut