Ramai pula penyokong pembangkang menggelupur di sebalik kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac iaitu esok.
Kenaikan cukai perkhidmatan itu tidak membabitkan keperluan asas rakyat sebaliknya fokus kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (B2B).
Lebih 85 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka.
Hanya isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj elektrik sebulan akan terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus itu.
Malah, pengguna elektrik komersial dan industri juga tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan, kerana selama ini mereka tidak dikenakan cukai itu.
Begitu juga, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan ke atas bil air.
Kenaikan itu juga tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi, ruang parkir kereta dan perkhidmatan logistik yang merangkumi penghantaran barangan.
Ini bermakna perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.