Tak pernah dibuat orang, rakaman bawa sofa atas bumbung Myvi undang tawa warganet

Kereta jenis Perodua Myvi merupakan antara kenderaan yang paling popular di Malaysia. Bukan hanya kerana ia antara salah satu kenderaan yang sering digunakan kebanyakan masyarakat sebaliknya mereka juga terkenal dengan pelbagai ragam dan ‘perangai’.

Malah kerana banyak perkara yang berlaku membabitkan kenderaan Myvi ini, model Perodua ini turut mendapat gelaran sebagai ‘King’ di jalan raya.

Lebih mengejutkan kadang kala beberapa perkara atau kejadian yang berlaku itu sukar untuk diterima akal namun tiada yang mustahil jika kereta yang dipandunya adalah Myvi.

Baru-baru ini, tular di TikTok video dikongsikan oleh seorang pengguna, Papa Lan yang menunjukkan gelagat pemandu Myvi sehingga mengundang perhatian ramai.

Menerusi video tersebut Papa Lan sedang memandu kenderaanya sambil menjelaskan dia tidak memahami sikap para pemandu yang membawa Myvi.

Ini kerana, mereka sering dilihat bergaduh sesama sendiri dan juga beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka.

Sebagai contoh kenderaan Myvi berwarna merah yang berada di lorong sebelahnya pula dilihat meletakkan sebuah sofa panjang berwarna kelabu di atas bumbung keretanya.

“Kalau pergi mana-manakan Myvi gaduh dengan adik beradik (kenderaan sejenis), ni Myvi angkat sofa dekat atas.

“Aku pun tak fahamlah kadang-kadang, Myvi memang suka buat hal ya Myvi?” soalnya sambil ketawa.

Dalam video, turut kelihatan sofa yang dibawa oleh pemandu berkenaan telah dibalut menggunakan ‘wrapper’ bersama dengan bumbung kenderaan berkenaan untuk mengelakkannya daripada terjatuh ketika bergerak di atas jalan raya.

Mengintai di ruangan komen, ramai pengguna kereta Myvi turut berkongsi pengalaman mereka yang pernah membawa barangan rumah dengan kenderaan tersebut.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat mungkin pemilik kenderaan itu baru sahaja berkahwin dan mempunyai kekurangan duit untuk menyewa lori bagi memindahkan barangannya.

Baca juga: “Anak 2 orang sakit masuk wad, siang malam aku sorang je yang jaga tapi suami asyik call jerit-jerit…”