Selepas hampir tiga minggu lebih menjalani ibadah berpuasa, kini tibalah untuk meraikan hari kemenangan umat islam iaitu Hari Raya Aidilfitri.
Sama ada anda beraya di bandar atau di kampung halaman, semua orang mula sibuk menyiapkan persediaan untuk pagi Aidilfitri.
Kemeriahan Lebaran semakin terasa apabila semua anggota keluarga berkumpul dan bergotong-royong untuk memastikan segala kelengkapan hari raya tersedia dengan sempurna.
Mari kita lihat 5 aktiviti boleh dibuat bersama keluarga pada hari-hari akhir bulan puasa yang mulia ini.
1. ‘Cuci mata’ di bazar Ramadan
Selain membeli hidangan untuk berbuka puasa, ada juga di antara kita yang berkunjung ke bazar pada hari terakhir Ramadan untuk mencari hidangan khas Hari Raya seperti lemang dan dodol.
2. Persediaan untuk berbuka
Walaupun semua ahli keluarga sudah tidak sabar untuk merayakan hari raya pada keesokan harinya, lauk-pauk untuk berbuka puasa pada petang terakhir Ramadan tetap perlu disediakan.
Kalau tidak disediakan, terpaksalah seisi keluarga meraikan hari raya dengan awal apabila menjamu lemang dan ketupat ketika berbuka puasa.
3. Membeli-belah saat akhir
Percayalah, kebanyakan wanita sering kali merasa masih kurang satu atau dua barang walaupun mereka sudah membeli banyak keperluan dan kelengkapan Aidilfitri.
Bagi anak-anak yang bekerja di luar kampung, inilah kesempatan terakhir anda untuk membawa ibu bapa dan keluarga di kampung membeli-belah pada saat-saat terakhir sebelum Syawal tiba.
4. Masak hidangan raya dan cari kayu api
Kebiasaannya, aktiviti pada petang dan malam raya diisi dengan kerja-kerja seperti membakar lemang, memasak rendang, mengacau dodol, atau merebus ketupat. Ini kerana semakin besar keluarga, semakin banyak pula hidangan yang perlu dimasak untuk dijamu oleh seisi keluarga.
Jadi, ini memerlukan kaum lelaki mencari kayu api supaya dapat dijadikan bahan bakar untuk memasak segala hidangan raya dalam skala yang agak besar.
5. Mesin rumput dan sapu sampah
Bukan hanya ruang dalam rumah yang perlu terlihat indah, bahkan kawasan halaman rumah juga penting untuk dipelihara dengan baik. Sekali-sekala pulang ke kampung, tidak ada salahnya untuk membantu memotong rumput dan menyapu sampah.
Persekitaran yang bersih juga penting, barulah sanak-saudara yang bertandang selesa untuk datang menjalinkan silaturahim.