Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim, 52, mengakui pernah disihir oleh enam individu serentak.
Malah, penceramah berkenaan mengakui beliau masih lagi bergelut dengan kesukaran untuk tidur malam sejak 15 tahun lalu akibat gangguan sihir yang dialaminya pada 1997.
Ustaz Kazim berkata, walaupun tahap kesihatannya kini semakin pulih, namun kesan daripada sihir yang pernah menimpa dirinya itu tidak hilang-hilang berikutan sudah ‘bertapak’ di dalam badan.
“Saya mula kena sihir pada 1997 dan sudah agak lama. Alhamdulillah, syukur kini keadaan kesihatan saya semakin pulih sejak 2021 lalu.
“Bagaimanapun, sampai sekarang saya menghadapi kesukaran tidur malam sejak 15 tahun lalu. Saya hanya boleh tidur kalau dalam kereta saja.
“Jadi, kalau malam saya hendak tidur, saya akan minta pemandu bawa kereta ke Tanjung Malim misalnya, kemudian patah balik. Jadi, dapatlah saya tidur selama dua hingga tiga jam,” katanya.
Mengulas juga rawatan doktor diterimanya, Ustaz Kazim berkata, beliau sudah melalui beberapa kali pembedahan sebelum ini, namun masalah kesihatannya tidak juga pulih sehingga beliau mengambil inisiatif belajar cara rawatan Islam sendiri.
“Sihir ini tidak akan pernah hilang sepenuhnya kerana ‘tapak’ atau ‘bekas’ daripada gangguan itu sentiasa masih ada di dalam badan. Disebabkan itu kalau saya pergi ke tempat yang ada gangguan, saya akan rasa tidak kena.
“Malah, kalau teruk sangat gangguannya, saya tidak akan balik ke rumah dan menginap di hotel saja. Apapun, isteri dan anak-anak saya sudah terbiasa dengan gangguan-gangguan yang datang itu, dah tak boleh buat apa,” katanya.
BACA JUGA Ini 11 fakta dinafi golongan yang terpekik ‘Mahaldahni’