Tak sangka ahli arkeologi terjumpa ‘iPhone’ di sebelah rangka wanita yang berusia beribu tahun

Ahli arkeologi terjumpa ‘iPhone’ di sebelah rangka wanita yang berusia beribu tahun di satu tapak pengebumian dikenali sebagai The Russian Atlantis.

Kawasan itu berhampiran kawasan pergunungan Republik Tuva yang hanya muncul beberapa minggu sahaja dari bawah permukaan air dalam tempoh setahun.

Objek tersebut ditemui di antara rangka seorang wanita dipercayai sebahagian daripada kelompok nomad yang dimakamkan bersama barangan miliknya sebagai ritual pengebumian.

Disebabkan bentuknya yang menyerupai telefon pintar, ahli arkeologi menggelarnya ‘iPhone’ serta menamakan rangka wanita itu dengan nama ‘Natasha’.

‘Iphone’ berukuran 18cm x 9 cm itu merupakan kepala tali pinggang yang bertatahkan batu permata jet, karnelian dan ‘ibu segala mutiara’.

Tali pinggang tersebut turut dihias dengan syiling wuzhu yang dicipta kira-kira 2,137 tahun lalu.

“Penemuan ‘Natasha’ bersama iPhone era Xiongnu merupakan salah satu penemuan paling menarik di tapak perkuburan itu,” kata salah seorang ahli arkeologi, Pavel Leus dalam penerbitan terbarunya yang berkisar tentang penemuan hasil ekspedisi mereka selama beberapa tahun di sana.

Menurut sejarawan, tarikh perkuburan atau nekropolis ini boleh dijejak sejak bermula Zaman Gangsa sehinggalah era Gengkhis Khan.

Ahli arkeologi turut menemui rangka seorang wanita digelar ‘Sleeping Beauty’ yang dihias dengan pakaian sutera ketika pengebumian.

Sebanyak 110 kubur ditemui di tapak tersebut.

“Kami sangat beruntung kerana menemui perkuburan golongan nomad yang kaya dan tidak diganggu oleh pencuri kubur purba,” kata Dr Marina Kilunovskaya dari Institut Sejarah Bahan Kebudayaan St. Petersburg yang mengetuai ekspedisi berkenaan.

Baca juga: “Kami tak boleh ada anak begitu juga kemesraan terbuka. Ikut je kemahuan isteri pertama sebab saya sedar saya ambil hak dia”