Tak sangka harga minyak patutnya RM3.50 tapi sekarang RM2.05, ‘orang kuat’ PMO perjelas pentingnya subsidi bersasar

Perbelanjaan subsidi di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia sekaligus menguntungkan golongan kaya dan pemain industri besar termasuk minyak.

Itu sebabnya pelaksanaan subsidi bersasar adalah penting bagi memastikan manfaat subsidi benar-benar dinikmati oleh majoriti rakyat memerlukan bukannya golongan kaya (T20) yang berkereta enjin besar.

“Kalau ikut harga sekarang, harga pasaran (jika diapungkan) sepatutnya dalam lingkungan RM3.50. Sekarang ini harga RM2.05 bagi RON95,” kata Nurhisham Hussein.

Nurhisham (kiri) menjelaskan penyasaran subsidi minyak.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu berkata, manfaat subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) selama ini lebih banyak dinikmati T20 berbanding B40.

“Kalau macam kereta saya, isi minyak dalam RM120 setiap minggu. Dalam sebulan, hampir RM500.

“Tapi kalaU dalam B40, dia bawa motosikal, RM10 saja (isi petrol) seminggu atau RM40 hingga RM50 sebulan.

“Jadi, subsidi itu selama ini lebih banyak memberi manfaat kepada orang yang berkereta enjinnya besar 40L dan sebagainya, yang makan minyak banyak,” katanya.

Subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM17.8 bilion pada 2022 telah dikaut oleh 35 peratus golongan kaya (T20).

Nurhisham berkata demikian menerusi ruangan ‘Cakna Podcast’ bertajuk Penarikan Subsidi Minyak: Rasional & Impak secara langsung di platform Youtube baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa amalan subsidi pukal selama ini paling kurang dinikmati kumpulan B40 yang kebanyakannya menaiki motosikal.

“Subsidi itu lebih kepada orang maha kaya seperti yang PMX selalu sebutkan.

“Kalau kita mahu betul-betul adil kepada rakyat, kena salurkan balik subsidi terutama kepada B40,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berpendapat langkah rasionalisasi subsidi petrol perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan impak harga terhadap rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan rasionalisasi bahan api itu akan memberi kesan besar kepada pelbagai aspek sekali gus membebankan rakyat sekiranya dilakukan secara mendadak.

“Kalau ikut harga sekarang, harga pasaran (jika diapungkan) sepatutnya dalam lingkungan RM3.50. Sekarang ini harga RM2.05 bagi RON95.

“Itu kalau hendak buat sekali gus tetapi kalau ikut amalan terbaik, (lakukan secara) berperingkat. Jangan buat sekali kerana impak dia kepada rakyat memang tinggi.

“Kita tidak mahu bebankan rakyat kerana bukan sahaja dari segi isu harga pam, tetapi juga harga logistik, inflasi dan barang-barang lain,” kata Nurhisham lagi.

BACA JUGA Selepas mengaku wujud kesan sampingan yang berbahaya, ini tindakan mengejutkan dari AstraZeneca