Tak sangka Hawa Rizwana jenis terlajak lasak, ini larangan dihadapinya zaman belajar

Pengacara juga pelakon cantik, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 29, memberitahu dia tidak kisah mengalami luka-luka dan calar pada anggota badan.

Rupanya, ‘kembar’ Neelofa ini sejak di bangku sekolah hingga ke universiti dilarang orang tuanya menyertai aktiviti lasak.

“Saya berjiwa lasak sebenarnya. Tapi sewaktu membesar, ibu bapa saya tidak bagi saya buat apa-apa aktiviti lasak termasuk sukan.

“Mungkin sebab saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

“Jadi, dari zaman sekolah hingga universiti, saya cuma diberi keizinan untuk menari sahaja,” katanya dipetik Kosmo! Online.

Hawa yang kerap berkongsi aktiviti mendaki dan berbasikal itu berkata, dia mengaktifkan diri dengan melakukan aktiviti ekstrem apabila sudah dewasa dan boleh berdikari.

Semangat dan mentalnya teruji kuat melawan cabaran fizikal di sebalik penampilannya yang lembut.

Hasilnya, anak bekas pengacara tv, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman itu sudah pernah menawan puncak Gunung Kinabalu.

Gadis kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu juga bersaing dalam maraton nun jauh di New Zealand.

Tahun lalu, Hawa mengalami kecederaan pada siku yang terluka sewaktu melakukan salah satu aktiviti lasak bagi program Real Men Malaysia: Wira Merah.

“Selama 22 hari berkampung di Terengganu untuk program Real Men Malaysia: Wira Merah, saya tidak fikir langsung tentang kencantikan diri yang perlu dijaga.

“Saya cuba bersolek nipis, itu pun sebab nak keluar televisyen. Saya rasa teruja dan mahu ‘all out’ sebenarnya,” kata Hawa lagi.

BACA JUGA Bayi lasak sangat menendang memang buat ibu tidak selesa, ini ada sebabnya