Menjadi jurulatih yang berkualiti kepada sesuatu jenis sukan bukanlah mudah untuk dicari. Kuat jurulatihnya maka kuat lah orang yang dilatihnya. Sebagaimana kuatnya Misbun Sidek begitulah hebatnya Dato Lee Chong Wei semasa eranya dalam sukan badminton.
Namun menurut sebuah laporan, Malaysia masih bergelut untuk menarik jurulatih hebat dari luar negara kerana tiada tarikan gaji yang lumayan. Maka begitulah kualiti kebanyakan atlet Malaysia kita.
Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 4 bulan yang lepas telah meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK).
Jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.
Dalam satu kenyataan media dikeluarkan MSN, kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 – kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) – bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.
Untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.
“Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.
“Elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.
Penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014,” tulis kenyataan itu.
Baca: Olimpik: Selalu tengok pemenang pingat Gangsa lagi gembira dari Perak, ini sebabnya