Penyanyi lagenda, Datuk Nash kelihatan sebak ketika menceritakan momen ketika merakamkan lagu Pada Syurga di Wajahmu bersama allahyarham Jayjay.
Nash yang juga vokalis kumpulan Lefthanded menceritakan bagaimana JayJay beremosi saat dia tidak memberikan perhatian kepada lagu yang digubahnya.
“Dia menggubahkan lagu dan memainkan muzik untuk lagu itu. Saya kena marah dengan dia ketika menyanyikan lagu itu kerana tiada penghayatan pada awalnya. Tapi oleh kerana dia berikan sentuhan sebagai seorang komposer dan penerbit, saya terima hakikat itu.”
Nash berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, pada Isnin.
Nash turut mendakwa pemergian Jayjay merupakan kehilangan besar kepada industri seni dan juga dirinya.
“Banyak yang kami kongsi dalam studio ketika rakaman. Saya banyak belajar ilmu dengan dia, ilmu nyanyian dia sangat mantap, dan dia juga seorang sahabat, komposer, penggubah lagu dan pemuzik yang baik.”
Terdahulu, jenazah Allahyarham Jay Jay, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus, 67, telah selamat dikebumikan pada jam 11.15 pagi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Sunway.
Baca juga: Tahniah! Aaron-Woo Yik bakal terima RM100,000, netizen pula dakwa tak berbaloi?