Tak sangka stesen minyak dalang seludup diesel, curi subsidi cecah puluhan ribu ringgit sehari

Sebuah stesen minyak di Shah Alam menjadi lokasi penyelewengan diesel menggunakan sebuah lori tangki yang telah diubahsuai.

Serbuan tersebut dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada Rabu.

Ia hasil risikan yang dijalankan serta tinjauan ke lokasi-lokasi panas yang dikhuatiri menjadi tempat aktiviti penyelewengan diesel.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad, melaporkan bahawa serbuan Ops Tiris, yang dilakukan sekitar jam 1 tengah hari, mendapati sebuah lori tangki dipercayai mengisi minyak di stesen tersebut selama hampir satu jam.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 12 transaksi dibuat dalam satu-satu masa dan melibatkan ribuan liter pengisian diesel,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Lori tangki itu juga diubahsuai untuk melakukan aktiviti penyelewengan yang dijalankan selama ini.

“Turut ditahan adalah pemandu lori berumur lingkungan 50-an dan dua lelaki warga asing berumur 30-an yang merupakan pekerja stesen minyak terbabit,” katanya.

“Jumlah keseluruhan sitaan melibatkan kira-kira RM500,000 termasuk keseluruhan diesel mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi melibatkan puluhan ribu ringgit.

“Tindakan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu memfokuskan dalam mengenal pasti individu, syarikat dan rantaian pengedaran bekalan diesel berkenaan,” katanya.

Baca juga: Tular gambar PMX kerja keras bangunkan negara, tapi ini pula yang netizen perasan