Tak tahan didera keluarga angkat, remaja nekad larikan diri ke balai polis. Seorang remaja perempuan nekad melarikan diri selepas dipukul menggunakan rotan oleh kedua ibu bapa angkatnya.
Mangsa melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya di Sri Hartamas Rabu lalu.
Menurut Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Manjiji berkata, mangsa melarikan diri ke Balai Polis Sri Hartamas 1.15 tengah hari pada hari kejadian.
Mangsa dipukul kerana rumah tak terurus dan tak kemas
“Mangsa bertindak sedemikian kerana tidak tahan didera dan dipukul menggunakan rotan oleh ibu dan bapa angkatnya yang masing-masing berusia 55 dan 66 tahun.
“Difahamkan punca mangsa dipukul kerana keadaan rumah berkenaan tidak terurus dan tidak dikemas oleh remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan menempatkan remaja berkenaan di tempat selamat.
“Susulan laporan itu, kedua-dua suspek ditahan pihak polis pada hari sama laporan dibuat mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Jun lalu selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan menganiaya mangsa,” katanya.
Kalau mahukan pembantu rumah, ambillah pembantu rumah bukannya ambil anak angkat sebab tak mahu bayar kos upah pembantu rumah. Kasihan budak tu, sudah hilang keluarga didera pula keluarga angkat.
Baca Juga: Wanita diberi amaran akan mengalami masalah kesihatan teruk jika berhenti beranak