Tak terfikir nak ‘check’ bilik anak, pagi esok jumpa mayat anak terjatuh dari tingkat 4

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9 pagi semalam.

Menerusi laporan Kosmo Online, Shafa’aton, bapa kepada mangsa terkejut selepas mendapati susuk tubuh berkenaan adalah anaknya yang dipercayai terjatuh dari kediaman mereka terletak di tingkat empat bangunan flat tersebut.

“Bapa mangsa yang berusia 30-an memaklumkan melihat cahaya lampu dari bilik anaknya itu kira-kira pukul 2 pagi ketika ke tandas namun tidak membuat pemeriksaan lanjut kerana menyangka kanak-kanak itu sedang tidur.

“Keesokan pagi bapa mangsa turun ke tingkat bawah bangunan flat terbabit untuk membeli sarapan kira-kira pukul 8 pagi sebelum menemui susuk tubuh terbaring di lokasi kejadian,” jelasnya.

Siasatan awal terhadap bapa mangsa mendapati anak sulung daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selain tiada masalah dalam keluarga.

“Pasukan perubatan mengesahkan mangsa mati di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Unit Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.