US Pizza Malaysia bercadang untuk melakukan penjenamaan semula dengan menukar namanya kepada KiTA Pizza, yang membawa pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat tempatan.
Menerusi laman TikTok rasmi, US Pizza mencadangkan nama tersebut setelah merujuk kepada perkataan ‘US’ itu sendiri.
Bagaimanapun, langkah-langkah akan diambil sekiranya gambar berbentuk video yang dimuat naik itu mendapat ribuan komen dan tanda suka.
“Korang nak kita tukar nama?“Jika posting ini mendapat 10,000 tanda suka dan komen, kita tukar nama!” katanya di TikTok pada Sabtu.
Difahamkan bahawa slogan jenama itu juga akan diubah kepada Bahasa Melayu, iaitu ‘Pizza Profesional’, yang sebelum ini diterjemahkan dari ‘The Pizza Professionals’.
Perkara tersebut kemudian menarik perhatian warga maya yang secara umumnya menyokong cadangan untuk jenama itu berubah kepada ‘MY Pizza’.
Jelasnya, nama ‘MY Pizza’ boleh merujuk kepada ‘Malaysia Pizza’ atau juga dapat diertikan sebagai ‘pizza tersebut milik saya’ apabila diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.
Dengan perubahan ini, beberapa individu dalam komuniti maya juga menyatakan bahawa sebelum ini mereka mengucapkan perkataan ‘us’ dengan menyebut hurufnya satu per satu.
Namun, sebutan sebenarnya adalah “US” (as) Pizza, yang membawa maksud ‘kita’ dalam kamus Bahasa Melayu.