Tanah runtuh di Ampang ragut 5 nyawa, 15 buah rumah rosak

Mangsa keempat dan kelima dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang berjaya ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, mayat mangsa keempat A Mahendran, 37, ditemui di hadapan unit rumah bernombor sembilan sekitar jam 11 malam (Khamis).

“Mangsa kelima seorang lelaki tempatan merupakan penghuni rumah bernombor tiga ditemui di hadapan rumah.

“Lelaki itu ditemui pada jam 1.55 pagi (Jumaat) dan pemeriksaan dibuat pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi, awal pagi hari ini.

Memetik Sinar Harian, penemuan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban seramai lima orang manakala hanya seorang warga emas dalam lingkungan 80-an yang merupakan penduduk di sini terselamat.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ menggunakan unit anjing pengesan (K9) untuk memastikan tiada lagi mangsa yang tertimbus.

“Selesailah tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR) ini dan kerja-kerja flushing menggunakan K9 akan dijalankan.

“Sekiranya tiada apa-apa perkembangan terbaru terhadap mangsa, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan jalankan tugas pembersihan,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihak polis akan menjalankan kawalan keselamatan 24 jam untuk memastikan tiada kecurian berlaku di kawasan terbabit.

“Kami akan pastikan rumah-rumah tidak diceroboh dan berlaku sebarang jenayah, jadi saya minta penghuni di sini boleh membuat laporan polis jika ada apa-apa yang perlu dimaklumkan,” ujarnya. –

 

COMMENTS