Kalau hati tak kental jangan datang restoran ini sebab mereka tawar perkhidmatan layan pelanggan dengan biadab. Restoran Karen’s Dinner merupakan restoran pertama menawarkan perkhidmatan sedemikian untuk pelanggan yang banyak ‘songeh’.
Memetik laporan Oddity Central, ‘Makanan Sedap, Servis Teruk’ merupakan moto yang digunakan oleh Karen’s Dinner, sebuah restoran makanan segera yang kini beroperasi di Australia dan United Kingdom (UK).
Difahamkan, ‘Karen’ merupakan slang Amerika terkenal bagi pelanggan pertengahan umur yang menjengkelkan, selalu tidak berpuas hati dan mengadu perkara remeh kepada pengurus.
Oleh itu, sikap sedemikian dikatakan sesuai dipraktikkan oleh semua kakitangan di restoran tersebut dalam usaha memberikan pengalaman yang tidak dapat ‘dilupakan’ oleh semua pelanggan.
Restoran Karen’s Diner pertama di dunia telah dibuka di Sydney pada Oktober tahun lepas dan satu lagi cawangan di Brisbane akan dibuka pada April nanti.
Menurut salah seorang pengurus syarikat itu, 10 lokasi baharu Karen’s Diner kini dalam proses untuk dibuka pada tahun hadapan, termasuk di Los Angeles dan New York.
Jadi, apa yang boleh diharapkan oleh pelanggan di Karen’s Diner? Pelanggan boleh membuat pesanan yang mengelirukan dan berdebat dengan pelayan mengenai perkara itu.
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan kek kecil hari jadi sekiranya anda berani untuk menyambutnya di sana.
Namun, perkhidmatan yang paling utama adalah pelanggan pasti akan dilayan dengan layanan yang sangat kurang ajar dan biadap oleh semua pelayan di sana.
Pelayan menjerit, baling menu, ejek rambut
“Di Karen’s, anda akan disambut dan ditunggu oleh pelayan yang kurang ajar dengan mengharapkan anda dapat menjadi “Karen” sepenuhnya.”
“Tempat di mana anda boleh mengadu sehingga rasa terseksa kerana kami benar-benar tidak peduli,” kata laman web rasmi rangkaian itu.
Salah seorang pelanggan, Sally Quinn yang baru-baru ini menjamu selera di Karen’s Diner Sydney memberitahu akhbar Australia The Age bahawa pelayan itu menjerit kepada mereka untuk mendaftar masuk, melemparkan menu mereka di atas meja dan mengejek rambut anak perempuannya.
Pelayan itu kemudian pergi berjalan mengambil pesanan mereka dengan “secara tidak sengaja” menjatuhkan begnya, menyumpah dan membuat isyarat biadab setiap kali pelanggan bertanya soalan.
Pengarah Viral Ventures, Aden Levin iaitu syarikat di belakang Karen’s Diner berkata, bahawa dia mahu restoran itu menjadi ruang di mana semua orang boleh bercakap apa sahaja, menjadi diri sendiri dan menikmati pengalaman makan yang santai dan menyeronokkan.
Baca juga: https://themalaysialife.com/mandi-lepas-makan-boleh-sebabkan-buncit/