Tengok rutin sama setiap hari hingga meresap masuk otak, ini rupanya cara nak anak berdisiplin

Ada ibu bapa yang menarik nafas panjang dan mengeluh malah kerap membebel melihat anak malas mengemas bilik sendiri apa lagi membantu buat kerja di rumah.

Rupanya, ada cara nak anak berdisiplin dengan memastikan tabiat dan kebiasaan yang baik bermula daripada ibu bapa sendiri hingga meresap masuk otak.

Ikuti perkongsian Nurlia Mohd Nor ini:

Saya senaraikan beberapa perkara yang semasa hidupnya mak dah tunjuk contoh tauladan yang baik dalam bab penjagaan dan mengemas rumah:

1) Bangun pagi perkara pertama mak buat adalah kemas tempat tidur, dan katil tu takkan ada siapa berani landing untuk bersantai-santai.

Nak landing sila ke sofa atau ruang tamu tengah. Sampai malam katil tu cadarnya tetap ‘tegang’.

2) Mak akan basuh baju pada awal pagi selepas solat Subuh. Sesiapa lepas solat Subuh tidur balik dan bangun lambat silalah basuh baju sendiri.

Kalau tak nak basuh sendiri, mandi dulu kemudian sambunglah tidur semula. Dalam baldi memang takkan ada pakaian kotor.

3) Mak akan sidai pakaian sebaik sahaja siap cuci. Tidak tangguh-tangguh. Kadang-kadang abah peril berseloroh, “Matahari pun tak muncui lagi. Awei beno pun sidainya..”

4) Selepas sidai pakaian di ampaian luar, mak akan ambil penyapu luar. Mak sapu halaman dan sapu dalam longkang. Buang daun kering dan lain-lain. Kemudian mak masuk rumah semula, ambil penyapu di dalam dan sapu dalam rumah pula.

5) Mak akan bersarapan. Lepas makan terus basuh pinggan, cawan. Rumah kami takkan ada pinggan mangkuk dalam sinki.

Abah pun basuh pinggan dan cawan sendiri walaupun dia seorang guru besar, ketua di sekolah dan juga ketua keluarga.

Abah pun tunjuk contoh tauladan yang baik. Kerja rumah mesti sama-sama buat. Bukan harap mak semua. Selesai sarapan kemudian mak akan berehat sambil baca surat khabar.

6) Tepat pukul 10 pagi mak akan masuk dapur untuk masak. Selesai masak, mak akan siap hidang semua. Pinggan, gelas, periuk nasi semua dah ada atas meja. Dapur pula mak akan lap, kemudian mak akan sapu semula ruang dapur.

7) Selesai masak dalam pukul 12 tengahari mak akan angkat pakaian di ampaian dan terus lipat. Dalam rumah kami memang takkan ada longgokan baju yang belum dilipat. Mak pantang tengok benda berlonggok.

8) Kemudian mak akan terus mandi, pakai telekung dan menunggu waktu solat Zohor.

9) Lepas Zohor mak akan makan dan berehat sehinggalah pukul 4 petang, mak dah siap mandi dan bersedia untuk Asar.

10) Waktu petang aktiviti santai. Ada masa sambil bersih halaman mak bersembang dengan jiran, ada masa mak duduk dalam rumah menonton tv. Kalau ada kelas mengaji biasanya lepas Asar mak akan pergi sampailah pukul 6.30 petang.

11) Nak masuk Maghrib mak akan mandi lagi sekali. Waktu ini mak akan pastikan semua orang dah rendam pakaian dalam baldi untuk dibasuh keesokan hari.

Bagusnya mak ni setiap kali nak menghadap Allah dia akan pastikan mandi dan badan dalam keadaan bersih.

Sehari mak mandi 4 kali. Sebab tu kalau nak tahu kulit badan mak cantik. Setiap kali mandi, dia akan gosok daki di badan, sabun.

Apabila mak sakit, setiap kali mandikan dia, saya memang suka tengok kulit Mak. Mak dahlah putih, kulit pula bersih, halus walaupun dah berumur lebih 70 tahun.

12) Selepas solat Maghrib ada masa mak akan makan dulu, ada masa mak akan tunggu Isyak.

13) Selesai makan malam, mak akan bersihkan semua meja makan. Sampah kalau dah penuh mak akan buang di tong sampah luar.

Selain itu:

1) Tuala, telekung, selimut, sarung bantal, cadar, mak ada jadual berkala untuk basuh.

Sebab itu kalau tengok semua telekung mak takkan ada kotoron contoh kuning di dagu, tahi lalat dan sebagainya.

Sampai reput kain tu tetap bersih. Sama juga dengan tuala, selimut. Dah bertahun-tahun pun masih elok.

2) Bilik air bukan tunggu kotor baru cuci. Sambil mandi pun kadang-kadang dengarlah mak memberus.

3) Buku cerita/mainan selepas baca/main silalah simpan di tempatnya. Bukan suka hati nak selit sana-sini. Kalau tak letak di tempat yang sepatutnya mak akan ambil.

Tabiat ini saya dah perhati dari kecil lagi. Bayangkan hari-hari tengok rutin yang sama. Memang ‘meresap’ masuk dalam otak dah.

Ia bukan soal kemas, bersih semata-mata sebenarnya, tapi ia berkaitan dengan DISIPLIN.

Mak ni, tambahan masa muda orangnya lemah lembut saja. Saya pun tak ingat bila mak pernah marah.

Mak tak pernah pun bagi arahan atau marah kami untuk ikut peraturan dia. Mak bukan jenis pot pet, pung pang marah. Bukan.

Tapi…

Saya belajar dari PEMERHATIAN. Bila dah biasa dengan keadaan begitu, sebagai anak kita pun dah terikut tabiat mak.

Sebab itu kalau nak anak-anak buat sesuatu, kita mesti buat dulu dan tunjuk contoh tauladan yang baik.

Percayalah…

Terima kasih mak sebab dah didik satu perkara yang baik untuk kami ikut. Apabila terkenang rutin harian mak ni rasa rindunya, ya Allah. Rindu pada susuk tubuh itu.

Al fatihah mak💖.

*Dalam gambar ini adalah bilik mak abah. Semua dah tinggal kenangan. Walaupun dah berumur, tapi sebab dah biasa kemas tetap akan kemas juga kan.

Nota:

Tabiat mak ni saya perhati dari kecil. Jadi, apabila dah berakal, dah faham perlahan-lahan kami pun ikut kebiasaan mak dan bantu mak buat kerja rumah sama.

Umur 4, 5 tahun dah boleh bantu mak buang sampah, umur 6 tahun basuh pinggan mangkuk, sapu sampah dan sebagainya.

Tugasan ikut kesesuaian umur. Bukanlah mak buat semua ni seorang sampai tua. Jangan salah faham. Mak dan abah saya bawa tinggal bersama sejak 7 tahun lalu.

Bila mak tak sihat, saya yang jaga mak, mandikan dia hari-hari, sediakan makan minum, cuci najis mak dan sebagainya sehinggalah mak menghembuskan nafas terakhirnya.

Mak dah tiada, sekarang abah tetap tinggal bersama kami. Alhamdulillah Allah bagi peluang untuk berbakti pada orang tua walaupun saya tahu sampai bila-bila pun jasa mereka membesarkan saya takkan terbalas.

BACA JUGA Ini rupanya cara supaya semua murid lulus, cikgu pun tak menangis lagi ajar kelas belakang