Kebiasaanya soalan-soalan hal suami isteri ini biasa kita dengar di video ustaz Azhar Idrus dalam sesi soal jawabnya. Kali ini Mufti Perlis seakan-akan terkejut menerima soalan berkaitan hal dalam kain dalam sesi soal jawabnya dalam kuliah umum.
Soalan yang diterima adalah bolehkah suami isteri berjimak di dalam kereta.
Ketika membacakan soalan tersebut yang ditulis pada sekeping kertas, Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza kelihatan sedikit terkejut, membetulkan kopiah yang dipakainya tetapi akhirnya tenang menjawab pertanyaan.
“Member (kawan) minta tanya Dr Mufti, tak sebut member pun tak mengapa sebut diri sendiri pun tak apa sebab saya tak kenal. Boleh tak jimak dalam kereta di tempat awam? Contonya di RnR (kawasan rehat dan rawat).
“Dah tak da tempat lain ka?” soal Dr Maza sambil ketawa ketika membacakan soalan itu di Masjid Alwi di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Beliau kemudian menerangkan bahawa dalam situasi berkenaan apa yang diperintahkan adalah menutup aurat.
“Jika kereta individu itu hanya ada dia dan isterinya tanpa orang lain, tiada sesiapa nampak dan tidak terdedah auratnya, itu adalah urusan mereka suami isteri.
“Yang penting mereka tidak mendedahkan aurat kepada orang lain atau mendedahkan perkara lain yang boleh menimbulkan rangsangan kepada orang lain,” katanya.
Dr Maza turut menjelaskan pasangan suami isteri ketika zaman dahulu juga mengalami situasi yang hampir sama apabila masyarakat terdahulu tidak mempunyai kediaman.
“Zaman dahulu begitu juga, mungkin dalam khemah. (Kaum) Badwi mana ada rumah, mereka ada khemah sahaja. Paling penting jangan mendedahkan aurat.
“Kalau boleh balik rumah, balik la rumah. Ikut dia la, kalau tanya haram atau tidak, ia tidak haram cuma perlu elak dedah aurat kepada orang lain,” katanya menjawab soalan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai memuji cara Dr Maza berdepan dengan pertanyaan seperti ini yang jarang-jarang diterima daripada orang awam.
“Berbeza betul orang yang berilmu tinggi menjawab soalan kurang cerdik tu. Alhamdulillah. Terbaik Dr Maza.
“Ahli ilmu, ada ‘izzah’ tersendiri. Walaupun soalan berkaitan bab jimak, tetapi beliau menjawab dengan profesional. Tanpa sebarang tokok tambah yang tidak diperlukan.
“Nampak Dr Maza terkejut dapat soalan macam ni dan beliau jawab sangat ringkas dan tak nak panjangkan perbincangan,” demikian antara komen netizen.
Baca: Tidak dibenarkan pulang ke Malaysia, ini biodata penulis kontroversi Raja Petra Kamarudin