Terengganu tidak ada telur

Masalah bekalan telur tidak mencukupi di Terengganu berlarutan sejak sebulan lalu dan memberi tekanan kepada peniaga serta pengguna.

Memetik dari Berita Harian, tinjauan ke Pasar Bukit Besar dan beberapa kedai runcit mendapati tiada bekalan telur di premis terbabit, membabitkan semua gred telur.

Peniaga, Azlan Mohammad, 56, berkata, peniaga kini menerima bekalan telur hanya sekali seminggu berbanding setiap hari sebelum ini.

“Apabila telur sampai, tak sampai sehari akan habis kerana semua orang berebut sebab susah nak dapat bekalan sekarang.

“Saya siap tampal poster di kedai memaklumkan kepada pengguna yang kedai tiada stok telur,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Bukit Besar, hari ini.

Azlan berkata, beliau difahamkan masalah itu berlaku berikutan penetapan harga kawalan dalam tempoh yang panjang.

Beliau berkata, kawalan harga itu bertujuan meringankan beban pengguna tetapi menjejaskan pengeluar telur, yang menanggung kos tinggi.

Peniaga kedai runcit, Zuhaira Zulkifli, 30, dari Kampung Losong Haji Mat Syafie berkata, ketiadaan bekalan stok telur itu membabitkan semua gred.

Beliau berkata, ada pelanggannya yang ingin membuat tempahan awal tetapi beliau terpaksa menolak kerana tidak tahu bila bekalan telur sampai.

“Dalam keadaan sekarang, siapa cepat dia dapat. Kami tidak berjanji dengan pelanggan,” katanya.

Pengguna, Aini Adibah Ismail, 40, dari Gong Tok Nasek berkata, beliau sudah dua hari `mencari’ telur di kedai runcit dan pasar raya.

“Tidak pernah berlaku masalah bekalan telur seperti sekarang. Jika masalah ini berlarutan, ia akan menjejaskan banyak pihak terutama peniaga makanan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata masalah bekalan telur itu berpunca di peringkat pengeluar dan ia tidak membabitkan semua jenis gred telur.

Beliau juga berkata, masalah itu hanya membabitkan segelintir dan pasar raya di negeri itu.