Seorang mahasiswa meluahkan rasa terkilan, mendakwa wang pinjaman pembelajaran yang diterimanya dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hampir habis dibolot kedua ibu bapanya.
Luah individu yang tidak mendedahkan namanya, dia tertekan kerana hanya mampu menggunakan suku daripada duit PTPTN itu, dengan sebahagian besar habis digunakan orang tuanya.
Lebih memburukkan keadaan, siswi berusia 23 tahun itu mendakwa ibu bapanya ada membuat beberapa pinjaman peribadi atas namanya.
Akibatnya, dia menjadi buruan pengutip hutang yang setiap masa menghubunginya sehingga diugut untuk disenarai hitamkan.
“I nak meluah. I pelajar ada PTPTN. Jadi I tipu ibu bapa I tentang jumlah wang yang I dapat dari PTPTN supaya dapat duit tu separuh untuk belanja sikit.
“Kalau I tak tipu, dia orang akan ambil semua duit tu yang tiada kegunaan pun untuk I.
“Dia orang ada buat pinjaman beli barang atas nama I sekarang dia orang tak bayar. Jadi, pengutip hutang 24 jam hubungi I minta duit. Dia orang cakap nama I akan disenarai hitam,” luahnya.
Kata siswi itu lagi, dia berasa sangat tertekan dengan apa yang berlaku.
Malah apabila dia cuba meluahkan perkara itu kepada ibu bapanya, dia di cop sebagai anak yang tidak mengenang jasa ibu dan ayah.
“Sekarang ni I macam down gila sebab dah lah duit PTPTN I dapat guna suku je untuk belajar, yang selebihnya ibu ayah I ambil. Sekarang nama I pula dah tak bersih.
“Bila I cakap pasal ni dengan ibu ayah I, dia orang cakap I ni anak yang tak ingat jasa mak ayah. Apa patut I buat sebenarnya,” katanya lagi.
Susulan luahan yang dikongsi di laman X, rata-rata pengguna meninggalkan komen simpati kepada siswi berkenaan, selain memberi kata-kata semangat untuk terus menjalani kehidupan dengan tabah.
Memahami dugaan yang dihadapi, mereka mendoakan agar gadis itu terus mengejar cita-cita dan keluar dari persekitaran keluarga yang toksik.
Baca juga: Terkini: Budak tadika kena makan buaya semasa mandi di sungai