Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Datuk Bandar Johor Bahru, Adib Azhari Daud bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.
The Malay Mail melaporkan Adib, 60, ditahan pada jam 3 petang semalam kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor untuk meluluskan projek.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika dia memegang jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri antara Nov 2017 hingga Nov 2019.
Laporan itu memetik Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias mengesahkan penahanan itu.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok (11 Ogos) di Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya.
Menurut portal berita itu, Adib ditahan di pejabat SPRM Johor setelah disoal siasat, yang menandakan ini kali pertama seorang datuk bandar ditahan kerana disyaki melakukan rasuah.
Dia disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun atau didenda RM10,000 atau tidak kurang daripada lima kali jumlah suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/586673
baca lagi : Makin kritikal, semua pemimpin PN diarah hadir ke rumah Muhyiddin hari ini