Keluarga waris lelaki dari Carolina Utara yang meninggal dunia selepas kenderaannya terjun ke dalam sungai melalui sebuah jambatan yang runtuh mengambil tindakan untuk menyaman syarikat teknologi Google Maps.
Philip Paxson memandu pulang dari majlis hari ulang tahun anak sulungnya pada 30 September tahun lalu. Kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam anak Sungai Snow di Hickory, yang akhirnya menyebabkan mangsa lemas.
Keluarganya telah mengambil tindakan undang-undang dengan mendakwa bahawa kejadian ini berlaku kerana Paxson mengikuti arahan perjalanan dari Peta Google (Google Maps).
Lelaki berusia 47 tahun itu memandu berseorang dan tidak biasa di kejiranan tersebut. Pada ketika itu juga berlaku hujan dan ribut.
Arahan dari Peta Google meminta dia memandu melalui jambatan yang runtuh hampir sepuluh tahun sebelumnya dan tidak pernah diperbaiki.
“Anak-anak bertanya bagaimana ayah mereka meninggal dunia dan saya kehabisan kata-kata. Sebagai orang dewasa, saya masih tidak faham bagaimana mereka yang bertanggungjawab terhadap arah GPS (Sistem Penentu Kedudukan Sejagat) boleh tidak peka tentang nyawa manusia,” kata isteri mangsa, Alicia Paxson.
Kenderaan Paxon terjunam ke dalam air sedalam 6 meter, manakala anggota-anggota penyelamat menemui mayatnya di dalam jipnya yang terbalik dan sebahagiannya tenggelam.