Seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) di pantai timur meluahkan kekesalan apabila guru yang didakwa pedofil masih bebas mengajar.
Menerusi paparan yang dikongsi @naylisabirawr di akaun X miliknya, dia menyatakan perasaan kecewa kerana setelah begitu lama, tindakan masih belum diambil terhadap guru tersebut.
Sebagai bekas pelajar sekolah tersebut, dia mengaku bahawa dia adalah salah seorang mangsa guru tersebut, dan turut menceritakan bagaimana pelajar senior telah memberikan peringatan tentang hal ini ketika mendaftar masuk ke situ pada usia 13 tahun.
“Ketika saya berumur 13 tahun, senior saya ada memberi amaran tentang seorang guru, katanya dia sering hantar teks mesej yang berbaur lucah kepada mereka yang cantik.
“Bila dah jadi senior, saya pula yang sampaikan pesanan itu kepada pelajar junior yang lain,” kata bekas pelajar sekolah berasrama penuh itu yanng terletak di Pantai Timur.
Dia turut mendakwa dirinya telah dihubungi oleh seorang pelajar dari sekolah yang sama.
Sangat menakutkan bagi dirinya apabila mengetahui pendidik tersebut masih mengajar di situ meskipun telah kantoi berkali-kali.
Melihat situasi ini sebagai sesuatu yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan, dia mengajak mereka yang pernah menjadi mangsa untuk menceritakan tentang betapa kejamnya tingkah laku lelaki yang seharusnya bertanggungjawab dalam mendidik namun melakukan sesuatu yang keji.
“Masih belum terlambat, tak kisahlah berapa lama kamu dah tinggalkan sekolah.
Saya juga mangsa, begitu juga kawan-kawan baik saya. Tolonglah kongsi cerita kami, teruskan bercakap tentang ‘raksasa’ ini, tweet pasal dia, jangan biarkan saja,” katanya.
Selepas ciapan tersebut tular, Polis Kelantan turut mengesahkan menerima laporan mengenai seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang dituduh melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki dan kini kes masih dalam siasatan.
Baca juga: Raih RM7.4 juta di Tiktok, ramai taktahu identiti sebenar wanita di sebalik akaun ‘Jungle Girl’