Terkejut ramai kanak-kanak mangsa ‘sextortion’, ini di Amerika, bagaimana di Malaysia?

Eksploitasi dan gangguan seksual secara online tidak terkecuali melibatkan kanak-kanak apabila lebih 300 juta golongan berkenaan di seluruh dunia menjadi mangsa dalam tempoh setahun.

Kajian mengenainya dilakukan oleh pasukan penyelidik Ins­titut Keselamatan Kanak-kanak Global Childlight di Universiti E­dinburgh, Scotland.

Satu dalam setiap lapan kanak-kanak di dunia pernah menjadi mang­sa rakaman tanpa persetujuan, perkongsian dan pendedahan kepada imej serta video berunsur seksual dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut pasukan penyelidik ber­kenaan.

Angka tersebut, kata mereka, bersamaan kira-kira 302 juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Selain itu, terdapat bilangan kes serupa melibatkan kesalahan menghantar mesej lucah tanpa kerelaan mangsa dan permintaan untuk melakukan hubungan ke­lamin oleh orang dewasa, demikian menurut kajian sama.

Jenayah yang dilakukan adalah pelbagai, termasuk ‘sextortion’ di mana pemangsa me­meras ugut untuk menyebarkan imej lucah mangsa.

Eksploitasi yang sering dilakukan oleh pemangsa termasuk penyalahgunaan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk mencipta video dan gambar lucah palsu.

Jenayah itu menyasarkan kanak-kanak di seluruh dunia namun, pakar-pakar menyatakan bahawa Amerika Syarikat(AS) adalah negara yang mempunyai risiko paling tinggi.

Kebimbangan mereka terbukti apabila data menunjukkan satu dalam sembilan lelaki di AS mengaku pernah melakukan perbuatan tersebut terhadap kanak-kanak.

“Bahan eksploitasi kanak-kanak sangat berleluasa sehinggakan kes yang dilaporkan kepada organisasi pemerhati dan polis secara purata adalah sekali dalam setiap saat.

“Ini merupakan pandemik global yang kekal tersembunyi sejak sekian lama.

“Ia berlaku di setiap negara, semakin berkembang pesat dan jelas, memerlukan tindak balas global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Childlight, Paul Stanfield.

Laporan itu didedahkan selepas polis Britain memberi amaran pada bulan lalu mengenai kumpulan penjenayah di Afrika Barat dan Asia Tenggara yang menyasarkan golongan remaja dalam penipuan sextortion secara online.

Agensi Jenayah Kebangsaan Britain (NCA) mengeluarkan amaran kepada beratus-ratus ribu guru dengan menggesa mereka supaya peka terhadap ancaman yang mungkin dihadapi oleh pelajar masing-masing.

Penipu dikatakan sering menyamar sebagai remaja lain dan cuba berhubung dengan mangsa di platform media sosial.

Mereka kemudian beralih kepada aplikasi mesej yang disulitkan sebelum menggalakkan mangsa berkongsi imej intim.

Suspek kemudian memeras ugut mangsa dalam masa sejam selepas komunikasi berlangsung.

NCA berkata, objektif pemang­sa adalah untuk me­meras ugut sebanyak mungkin wang dan bukannya memenuhi kepuasan seksual.