Terkejut sewa RM600 sebulan bukan bilik tapi ruang balkoni yang sempit

Ruang balkoni pun tergamak disewakan sebanyak RM600 sebulan pada sebuah unit kediaman sekitar Menara U2 dekat Management and Science University (MSU) di Shah Alam. Selangor.

Terpampang gambar unit sewaan itu dengan hanya muat katil ‘single’ dan sedikit ruang dengan sebahagiannya ‘berdindingkan’ pintu ‘sliding’.

Rata-rata warganet berseloroh melihatkan perkongsian tawaran bilik sewa itu hinggakan ada yang berseloroh hantu pun tak sampai hati nak sakat penyewa.

Ada yang bergurau mudah untuk ke dewan kuliah hanya dengan menggunakan ‘flying fox’.

Selain itu, warganet juga berpendapat kalau yang jenis mengigau berjalan mahu bangun tidur celik mata sudah berada di ‘alam lain’.

Dari segi praktikal juga, penyewa mudah untuk sidai pakaian manakala ada yang bimbang risiko apabila hujan lebat.

Bayangkan masa hujan lebat… serius bunyi angin… rasa nak terbang ‘sliding door’ tu.

“Ni kalau tuan rumah tak kaya tak tahulah,” demikian antara kata warganet.

Dalam masa sama, ada yang bernada positif dengan mengakui harga sewa bilik memang agak tinggi pada masa ini.

Namun, bagi tujuan penyelesaian, terdapat warga maya yang berkongsikan tips untuk menangani masalah dari segi ruang peribadi.

“Bagi sayalah mahal tetap mahal, tapi tiada masalah rasanya dengan balkoni tu, tambah langsir gelap, okay je rasanya,” kata seorang netizen lagi.

Baca juga: Habis tu manusia lahir darah biru ke? Jejaka ‘stoicism’ disaran dapat rawatan sakit mental