Penganjur Honda Day Malaysia 2024 yang tular memberi hadiah kenderaan Honda ‘semput’ dikatakan telah mengotakan janjinya untuk memberi hadiah sebenar
Kenderaan BMW F30 itu dikatakan adalah hadiah sebenar cabutan bertuah yang diadakan pada baru-baru ini.
Penyerahan kereta berwarna kuning itu kepada pemenang, yang merupakan seorang guru dilakukan secara langsung di TikTok di kediamannya di Salak Tinggi, Selangor, Isnin malam.
“Alhamdulilah sejujurnya orang rumah (isteri) saya inginkan BMW, terima kasih Honda Day. Tak tahu nak cakap apa, Alhamdulilah syukur kepada Allah,” kata pemenang berkenaan menerusi Tik Tok penganjur.
Dalam video tersebut, kereta BMW F30 itu ditutup dengan kain hitam dan dihiasi reben besar berwarna merah, dibawa khas menaiki lori di dalam kotak lutsinar.
Sementara itu, penganjur acara, Remy Ampang, telah memohon maaf dan menyatakan bahawa pihaknya akan mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, sambil mengakui kelemahan dalam pengurusan acara.
“Saya ambil nasihat, kecaman, kritikan ramai sebagai sesuatu kekuatan untuk saya perbaiki lagi acara Honda Day Malaysia ini pada masa akan datang.
“Tanpa teguran, kritikan ramai mungkin saya tidak nampak kelemahan ini. Sekali lagi saya minta maaf dan ampun atas kejadian, baru-baru ini,” katanya.
Harga bagi kenderaan mewah BMW F30 itu didakwa mencecah RM200K.
Baca juga: Kembang tekak! Peniaga kantoi basuh periuk guna air longkang dikecam buat muka ‘selamba’