Sebuah kampung di Madura, wilayah Jawa Timur, menarik perhatian ramai kerana penduduknya tidur di atas pasir, bukan di atas tilam seperti kebiasaanya.
Penduduk kampung itu mendakwa ia adalah amalan yang telah dilakukan secara berkurun lamanya.
Berdasarkan klip video yang dikongsi oleh seorang netizen di laman Instagram, dapat dilihat beberapa rumah dengan lantai seramik dan dinding berbata di kampung tersebut.
Namun apa yang menariknya apabila memasuki bilik tidur, tiada katil atau tilam disediakan, sebaliknya ruang berisi pasir yang dibentuk menyerupai katil.
Bukan hanya di dalam bilik, pasir juga terdapat secara meluas di pekarangan rumah, di mana bantal dibiarkan di atas pasir untuk memberikan keselesaan kepada penghuninya untuk berehat.
“Bukan sekadar tempat tidur, pekarangan rumah juga dipenuhi pasir untuk penduduk duduk, baring dan bersembang,” kata hantaran tersebut.
Mereka juga mendakwa pasir-pasir tersebut dapat merawat beberapa penyakit seperti gout, reumatik dan beberapa penyakit lain.