Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bukan semua 500 unit ambulans yang akan dibelinya adalah bertekanan negatif, malah kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba Ahad lalu juga disalah tafsir.
Penjelasan ini dibuat bagi menjawab bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang mempersoalkan kewajaran Putrajaya membeli 500 unit ambulans tekanan negatif yang menelan belanja kira-kira RM300 juta ketika pelaksanaan darurat.
Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah berkata, Adham tidak menyebut semua 500 unit ambulans itu bertekanan negatif.
“Laporan berita itu telah disalah tafsir sebagaimana yang disalah fahami dan dilapor oleh pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada 17 Jun, KKM telah mengiklankan tawaran tender untuk perolehan 490 jenis ambulans bersama kelengkapan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital dan klinik di seluruh negara.
Ahad lalu, media melaporkan KKM akan memulakan perolehan lebih banyak unit ambulans tekanan negatif bagi mengangkut pesakit Covid-19 ke pusat rawatan.
Adham dilaporkan berkata, ambulans tekanan negatif itu adalah keperluan penting, terutamanya di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.
Selain sistem tekanan negatif, unit ambulans berkenaan turut dilengkapi penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit, terutamanya jenis penyakit bawaan.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/22/bukan-semua-perolehan-500-unit-ambulans-bertekanan-negatif-kkm-jawab-dakwaan-dzulkefly/