Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam menyerahkan surat pengesahan untuk menaik taraf pejabat ketua pembangkang menjadi setaraf dengan pejabat menteri.
Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dengan perubahan itu Anwar Ibrahim akan mendapat pelbagai kemudahan seperti seorang menteri.
Menurut hantaran ahli parlimen Seremban itu lagi, perubahan kedudukan itu dimaklumkan sendiri Ismail Sabri kepada Anwar sebelum mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan pusat dengan Pakatan Harapan (PH).
Pertemuan tersebut diadakan di di Bilik Mesyuarat Parlimen petang semalam.
“Sebelum mesyuarat bermula, PM menyerahkan surat pengesahan kepada ketua pembangkang untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat menteri,” katanya.
Putrajaya dan PH menandatangani MOU pada 13 Sept lalu yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam beberapa aspek bagi mencapai kestabilan politik dalam negara.
Melalui MOU itu kerajaan menjanjikan beberapa pembaharuan termasuk reformasi parlimen, Undi18, had jawatan seseorang perdana menteri dan kebebasan badan kehakiman.
Sebagai balasan, PH – yang menjadi blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat – akan menyokong atau berkecuali dalam undian B2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.
Ia dengan syarat penggubalan belanjawan dan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan dengannya dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan PH.
PH juga akan menyokong atau berkecuali dalam sebarang RUU yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya, dengan syarat perangkaannya turut dirunding dan dipersetujui secara bersama.
Kata Loke mesyuarat semalam membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama baru-baru ini.
Menurutnya beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan parlimen yang akan datang.
Kata bekas menteri pengangkutan itu mesyuarat jawatankuasa terbabit akan diadakan sekali setiap dua minggu.
“Mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baru untuk negara kita.
“Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” katanya.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/595026