Pembentangan Belanjawan 2021 Perak ditangguhkan sementara bagi membolehkan usul percaya kepada Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dibahaskan sebelum diundi.
Dua usul tergempar dikemukakan kepada Yang Dipertua DUN Perak masing-masing oleh Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji).
Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid kemudian meminta undian daripada semua Adun yang kemudian mendapati 45 daripada 59 menyokong dan sembilan menolak.
Sebelum pengundian dijalankan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS), diberikan peluang untuk berucap sebelum Adun Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim, yang membawa usul tersebut membuat penggulungan.
Walaupun Razman bertegas mengajak semua Adun memberikan sokongan kepada usul tersebut – sekali gus menyelamatkan kedudukan Ahmad Faizal – Abd Manaf pula berkata Umno tidak gila kuasa kerana membawa usul berkenaan.
“Kita buat ini, hasrat dan tujuan kita sebagai Adun Perak ialah untuk yang terbaik bagi negeri ini.
“Apa yang kita buat ini, saya yakin, kita reda dengan ketentuan Allah dan berdoa agar Allah memberi rahmat dan hidayah-Nya kepada kita,” katanya
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553747