Terkini : Catat sejarah baru, Jalan raya tertinggi di Malaysia akhirnya dibuka

Terkini : Catat sejarah baru, Jalan raya tertinggi di Malaysia akhirnya dibuka

Laluan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, Pulau Pinang dibuka kepada orang ramai mulai semalam, selepas mengambil tempoh selama enam tahun untuk disiapkan.

memetik dari Agenda Daily, ikon terbaharu Pulau Pinang itu – jalan tertinggi di Malaysia – dengan ketinggian 60 meter melebihi persimpangan Jambatan Rawang yang tingginya 58.2 meter, mampu mengurangkan kesesakan dan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 pengguna setiap hari.

Laluan itu adalah konsesi yang disiapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membabitkan laluan sejauh 3.825 kilometer (km) dengan kos sebanyak RM378.2 juta, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Istimewanya projek ini terdapat satu laluan dengan ketinggian 61.5 meter menjadikan ia sebagai jalan raya paling tinggi di Malaysia.

“Kerja pembinaan yang bermula pada 14 Januari 2016 itu siap pada 24 Disember tahun lalu membabitkan beberapa skop pembinaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan projek itu tertangguh beberapa kali berikutan insiden tanah runtuh, selain penularan pandemik Covid-19 dan beberapa isu teknikal membabitkan kerja tambahan.

Laluan itu menjadi jalan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan sekitarnya.

Turut disediakan lorong basikal di sepanjang jejambat jalan itu bagi memberi peluang kepada penggemar sukan berbasikal menjalankan aktiviti ini di jejambat tertinggi.

MBPP juga merancang membina kawasan rekreasi di sini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai beriadah.

Setiausaha MBPP, Ir A Rajendran berkata jalan itu dibina mengikut piawaian ditetapkan dari segi keselamatan, had kelajuan dan lain-lain.

“Selain Jabatan Kerja Raya (JKR), kita juga melantik bahagian geologi bagi mengkaji keselamatan bahagian cerun di sini, ” katanya.

COMMENTS