Terkini : CFO Maybank kini jadi Pengarah Urusan Khazanah Nasional

Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa pada 16 Julai 2021.

Sayap pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, Amirul Feisal bakal menggantikan Datuk Shahril Ridzuan yang akan melepaskan jawatan itu apabila kontraknya tamat kelak bagi menumpukan perhatian kepada usaha peribadi.

“Lembaga Pengarah Khazanah mengalu-alukan pelantikan Amirul Feisal dan yakin bahawa berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan.

“Lembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Shahril Ridza atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, terutama kejayaan mengetuai pelaksanaan strategi yang menyaksikan Khazanah berada dalam kedudukan kukuh serta mampu mengharungi persekitaran serba mencabar akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Amirul Feisal, 51, adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) sejak 1 Julai 2016.

Beliau menyertai Maybank sebagai Ketua Kumpulan, Perbankan Global pada 2014.

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dari 2010 hingga 2014 dan bertanggungjawab dalam usaha penyusunan semula serta transformasi perniagaan syarikat tersenarai awam itu.

Sebelum itu, Amirul Feisal adalah Naib Presiden Eksekutif, Projek Khas di Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada 2010.

Beliau pernah menjadi Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan di Maybank Investment Bank Bhd dari 2008 hingga 2010,

bertanggungjawab atas bahagian perbankan pelaburan, kewangan korporat, pasaran modal ekuiti dan modal teroka.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn Bhd dan sebelum itu memegang beberapa jawatan peringkat pengurusan di Citigroup Global Markets (Asia) Ltd, Salomon Smith Barney, Schroders serta KPMG.

sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/833437/amirul-feisal-dilantik-pengarah-urusan-baharu-khazanah