Najib Razak gagal mendapatkan penangguhan berhubung keputusan mahkamah yang berkaitan dengan tuntutan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.
Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh meneruskan notis kebankrapan terhadap terhadap bekas perdana menteri itu.
Sebelum ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, pada Julai tahun lalu.
Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 4 Februari lalu terhadap Najib selaku penghutang.
Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/578856