Terkini : Didakwa sembang lucah dengan pelajar sekolah, ini jawapan Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa jengkelnya terhadap satu video pendek memaparkan perbualan lucah didakwa dilakukan Anggota Parlimen Muar itu dengan pelajar sekolah.

Menafikan sekeras-kerasnya dia terlibat dalam perbualan melalui WhatsApp tersebut, Syed Saddiq juga berjanji akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang mendalangi video berkenaan.

“Menjijikan. Ini terang-terang suatu fitnah, fitnah yang menjijikkan. Tak masuk akal,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum itu Malaysiakini menghubungi Syed Saddiq selepas mendapat maklum terdapat beberapa individu yang membuat laporan polis susulan video tersebut.

Klip berkenaan dimuat naik ke YouTube sejak beberapa hari lalu.

“Kalau tahu siapa yang sebarkan, tolong maklumkan supaya saya boleh ambil tindakan mahkamah,” tambahnya.

Hasil semakan di platform media sosial terbabit, video berdurasi 45 saat itu dimuat naik pada 3 Mei lalu, manakala akaun yang bertanggungjawab melakukannya dicipta pada 28 Mac.

Ia memaparkan perbualan WhatsApp antara nombor yang disimpan sebagai ‘Baby Sadiq’ dan didakwa kononnya seorang gadis bersekolah.

Antara lain ia membabitkan perbualan seks mengenai bahagian badan dan permintaan gambar.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Taware ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan polis berhubung perkara itu pagi tadi.

“Ada laporan polis pagi tadi. Kami masih di peringkat awal siasatan,” katanya.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/573449