“Wahai para ulama politik sekalian, sila buka mata dan dengar tentang penjelasan diberikan sebelum mengkritik tindakan saya dedahkan campur tangan menteri dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM)”.
Itu penjelasan diberikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador susulan Dewan Ulama Pas mengkritik pendedahan yang dilakukannya.
Kata Abdul Hamid, beliau mendedahkan perihal penyelewangan dan salah laku yang kian berleluasa agar dapat diperbetulkan segera.
“Sudah saya jelaskan bagaimana aduan telah saya buat kepada perdana menteri dan Ketua Setiausaha Negara tentang hal ini. Adakah para ulama politik ini tidak faham tentang penjelasan itu?
“Bagi saya apa gunanya ilmu agama tinggi melangit yang ada pada diri masing-masing tetapi takut untuk berterus terang selain tidak berusaha untuk mengatasinya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pada Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui kurang senang dengan campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah beliau mengakui hubungannya dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin memang tidak harmoni.
Abdul Hamid mendakwa sikap Hamzah mempolitikkan PDRM sejak jadi menteri mengecewakannya dan ia berbeza semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menteri sebelum itu.
Malah beliau juga telah bersemuka dengan namun ia tidak ada jalan penyelesaian kerana Hamzah masih mahu kuasa dalam PDRM.
Susulan kritikan terbuka itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Mohd Nor Hamzah berkata, tidak wajar individu seperti Abdul Hamid yang tahu mengenai undang-undang dan menjaga keadilan negara beremosi dalam ucapan sehingga mengundang sangkaan berunsurkan fitnah. – MalaysiaGazette