Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).
Menurut Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kerajaan hanya menetapkan harga bagi minyak masak bersubsidi iaitu RM2.50 satu kg.
“Pada masa ini harga di pasaran dunia sudah mencecah RM4,300 metrik tan berbanding sebelum ini sekitar RM2,500 metrik tan sahaja, bersamaan lebih kurang RM4.30 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna, kos minyak sawit mentah sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5kg dan ini tidak termasuk kos-kos lain seperti pembotolan, pengangkutan, pengangkutan dan keuntungan peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
“Sebenarnya, kualiti minyak sawit bersubsidi dalam pek polibeg 1kg sama dengan minyak sawit dalam botol,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.
Nanta berkata, harga minyak sawit mentah ditentukan oleh pasaran dunia dan mengalami turun naik.
KPDNHEP berkata, sejak dahulu lagi kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk minyak masak bersubsidi.
“Untuk tahun ini sahaja, sekitar 60,000 tan metrik diperuntukkan setiap bulan untuk kegunaan rakyat Malaysia.
“Jumlah itu bersamaan dengan 60 juta polibeg 1kg sebulan atau 1.8kg minyak sawit untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan,” katanya.
Tambahnya, pengguna di Malaysia mempunyai pelbagai pilihan dan terpulang kepada citarasa dan bajet masing-masing dalam memilih jenis minyak masak.
Ia turut menyeru orang ramai menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mengetahui dan membandingkan harga minyak masak tidak bersubsidi di premis perniagaan berdekatan rumah masing-masing.
Baru-baru ini, pengguna dilaporkan terkejut dan mengeluh mendapati harga minyak masak dalam botol melambung naik di pasar raya, kedai serbaneka dan pasar mini.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/minyak-masak-botol-tidak-tetap-harga-kerana-bukan-barangan-subsidi-kpdnhep-302120