Bekas ketua Pemuda Amanah yang menyertai Bersatu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengadap Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh menjelang tengah hari ini.
Perkembangan itu berlaku ketika pihak istana menitahkan Adun Perak mengadap untuk menyatakan pendirian mereka berhubung calon menteri besar dari Umno.
Menurut Adun Titi Serong itu, dia mengadap berseorangan saja namun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Hasnul Zulkarnain berkata dia tidak pasti sama ada Sultan Nazrin menitahkan Adun Perak datang seorang demi seorang atau sebaliknya.
Beberapa minit sebelum jam 3 petang dua kenderaan dengan masing-masing membawa Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Nga Kor Ming (DAP) memasuki pekarangan istana.
Portal Sinar Online melaporkan Hasnul Zulkarnain mengadap sultan berseorangan pada jam 11.50 pagi tadi.
Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadap sultan pada jam 10 pagi untuk mempersembahkan nama calon menteri besar selepas penyandangnya Ahmad Faizal Azumu tersingkir melalui undi percaya di DUN Perak pada 4 Dis lalu.
Malam tadi Umno menyatakan mereka sebulat suara menamakan Adun Kota Tampan Saarani Mohammad sebagai calon menteri besar. Bagaimanapun Ahmad Zahid yang ditemui media selepas mengadap Sultan Nazrin berkata nama yang dikemukakan secara rasmi hanya akan diumumkan oleh pihak istana selepas ini.
Pelantikan menteri besar Perak perlu mendapat sokongan daripada parti selain Umno kerana kedudukan semasa kerusi dalam DUN menyaksikan tiada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti.
Hasnul Zulkarnain meninggalkan Amanah untuk menjadi Adun bebas sebelum menyertai Bersatu. Namun dia didakwa mengundi untuk menolak Ahmad Faizal – yang juga timbalan presiden Bersatu – dalam undian di DUN pada Jumaat lalu.
Dia juga dikaitkan dengan perakuan bersumpan (SD) yang memberikan sokongan kepada Saarani agar dilantik menjadi menteri besar.
Sumber dalaman parti memberitahu Bersatu sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan terhadap Hasnul Zulkarnain atas dakwaan tersebut.
Menurut Sinar Online kenderaan bekas exco Perak itu dilihat berada berhampiran Istana Kinta kira-kira jam 11.55 pagi dan sempat melambai tangan kepada wartawan yang ada di situ.
Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan agar Adun Bersatu dan PAS mengadap untuk mempersembahkan pendirian masing-masing terhadap calon menteri besar Umno.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554345