Pendakwah terkenal Ebit Lew mengesahkan beliau dan delegasinya kini telah memasuki Gaza, Palestin, pada Isnin.
Katanya, Kedutaan Malaysia dan Unit Perisikan Tentera Mesir memaklumkan delegasinya merupakan yang pertama di dunia dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang selama 11 hari tamat bulan Mei lalu.
Dalam muat naik di laman Instagram miliknya, Ebit Lew menyatakan kemasukannya ke bumi Gaza diiringi tentera Mesir dengan kereta perisai sepanjang perjalanan.
“Mesir sendiri telah banyak memberi bantuan dan mengetuai dalam membangunkan Gaza semula, ada lebih 30 Badan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon dan sebahagiannya di Mesir.
“Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat membantu,” katanya.
Mengulas lanjut, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew melahirkan rasa kesyukuran dapat memasuki bumi Palestin.
“Sebak satu terasa seperti balik kampung halaman sendiri, mungkin daripada doa kecil rakyat Palestin dan kini dapat menjejakkan kaki ke sini.
“Saya minta maaf tidak dapat kemaskini sebelum ini atas faktor keselamatan, terharu aoabila sampai kami disambut Palestin Red Crescent dan ramai berebut untuk sambut termasuk Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan Palestin.
“Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum dan makan serta ke rumah mereka, terasa seperti keluarga yang dekat,” ujarnya.
Pada 25 Mei, Ebit Lew dilaporkan berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-dunia/ebit-lew-kini-di-gaza-pasukan-pertama-di-dunia-dibenar-masuk-ikut-pintu-rafah-305464