Terkini : Kerajaan benarkan rentas negeri pada Oktober

Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kebenaran merentas negeri pada pertengahan bulan depan, jika kadar pelalian terhadap COVID-19 mencapai 90 peratus penduduk dewasa.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan lagi minggu ini, termasuk membuka semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lalu.

Beliau berkata, cadangan itu juga akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.

“Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Muhiyiddin berkata, beberapa kementerian akan meneliti kewajaran membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan hari ini.Turut kelihatan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – Foto BERNAMA

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan hari ini.

Turut kelihatan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Soal isu pembukaan sempadan kita, saya bangkitkan tadi dan ada respons. Ini sedang diperhalusi oleh Menteri-menteri yang terbabit untuk dibincangkan dalam minggu ini juga.

“Apakah kewajarannya supaya sempadan negara kita dibuka untuk membolehkan Malaysia dan rakyat kita pergi ke luar negeri? Di mana diterima, disebabkan mereka semua sudah diberikan suntikan dos lengkap?

“Kita lihat sama ada sempadan akan dibuka untuk membolehkan pelawat, peniaga, usahawan, pelancong datang ke negara kita. Salah satu daripada keputusan yang saya fikir akan membawa kesan yang besar kepada negara kita,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/869547/rentas-negeri-mungkin-dibenarkan-oktober