Terkini : Kerajaan hapus SOP berada 2 jam dalam shopping mall

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangguhkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung tempoh dua jam pengguna dalam premis perniagaan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata pihaknya sudah menghapuskan SOP berkenaan sebaik mendapat pengumuman untuk mengadakan sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun lalu.

“Sebaik mendapat pengumuman lockdown (sekatan pergerakan penuh), kita menghapuskan tempoh dua jam seseorang pengguna itu boleh berada dalam sesuatu premis ataupun pasar raya, kompleks dan sebagainya.

“Bagaimanapun kita menyarankan pengguna jangan mengambil masa yang terlalu lama kerana kita hendak mengurangkan risiko dan memastikan orang ramai lebih menghabiskan masa di rumah daripada di pasar raya atau kedai yang tidak sepatutnya,” katanya selepas mengetuai Ops Bersepadu Pemeriksaan SOP Akta 342 di Lotus Extra Bercham, hari ini.

Sehubungan itu, pengguna dinasihat segera menyelesaikan urusan di luar dan balik ke rumah dalam usaha memastikan rantaian wabak dapat diputuskan.

Mulai 25 Mei lalu, antara SOP diperketatkan yang diumumkan kerajaan dalam PKP 3.0 adalah had masa dua jam untuk pengguna berada dalam premis perniagaan. Penguat kuasa akan menyemak had masa pengguna dalam premis perniagaan berdasarkan rekod MySejahtera.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 579, 892 premis sudah diperiksa dan 227 daripadanya dikenakan kompaun sejak pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digerakkan pada Mei hingga semalam.

“Berdasarkan statistik berkenaan, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang memuaskan, yang mana 98.51 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan manakala 0.10 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.36 peratus diberi nasihat dan amaran,” katanya.

Sebanyak 41 kes membabitkan syarikat atau individu yang gagal mematuhi SOP dengan nilai kompaun RM283,500 sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 bermula 1 Jun hingga semalam.

“Mengikut data sejak awal penguatkuasaan, kesalahan paling banyak dilakukan oleh sektor peruncitan iaitu kedai serbaneka yang dibuka di stesen minyak.

“Kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi tetapi ada yang sudah membuka seawal 6 atau 7 pagi dan menutup lebih lewat daripada waktu yang dibenarkan, jadi ia tidak dibenarkan,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824913/sop-dua-jam-dalam-premis-ditangguh