Terkini: Majoriti MT Umno tak setuju keluar kerajaan, kata sumber

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dikatakan menolak cadangan supaya Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan meletak jawatan kabinet bagi membubarkan Parlimen.

MKT sebaliknya mahu cadangan mengadakan kerjasama politik diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat membabitkan kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, keputusan MKT ini selari dengan keputusan Biro Politik UMNO yang bermesyuarat petang tadi.

Semalam SuaraTV melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Ahli Parlimen UMNO meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini bagi mengadakan Pilihan Raya Umum secepat mungkin.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO tiada pilihan kerana kerajaan ini gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam perjumpaan bersama Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra pada masa kini.

UMNO bagaimanapun sebentar tadi telah membatalkan sidang media yang dirancang dan hanya mengeluarkan kenyataan media melalui Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan.

sumber: https://suara.tv/06/01/2021/eksklusif-mt-umno-tolak-saranan-keluar-kerajaan/