Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pelajar tidak perlu mengenakan seragam apabila kembali sekolah nanti.
Radzi berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini, bagi menggariskan perancangan kerajaan berhubung pembukaan semula sekolah bermula 3 Oktober ini.
Bagaimanapun, dia berkata pelajar perlu memakai pakaian yang sesuai, sopan dan kemas.
Katanya lagi, pemakaian pelitup muka juga akan diwajibkan di sekolah.
Dia juga meminta ibu bapa agar memastikan status vaksinasi pemandu bas sekolah untuk anak mereka.
Sekolah di negeri bawah Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dijangka akan dibuka semula mulai 3 Oktober ini, manakala pelajar di negeri bawah Fasa 1 dan 2 akan meneruskan pembelajaran dalam talian, kecuali bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan utama.
Setakat ini, hanya Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan berada di bawah Fasa 3 dan 4 PPN.
Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes Covid-19 di Sarawak kebelakangan ini dan kerajaan negeri – yang selalunya merangka dasar sendiri – belum membayangkan sama ada ia akan menuruti pelan kerajaan persekutuan atau tidak.
Negeri dan kawasan di bawah Fasa 2 pula ialah Kelantan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.
Hanya Kedah dan Johor yang masih berada di bawah Fasa 1.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/591048