Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan perbincangan berhubung isu pemecatan ahlinya Zuraida Kamaruddin dan individu lain dalam parti itu yang didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Memetik dari Malaysiakini, PBM merupakan parti politik baru dan ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan anggota Parlimen Ampang itu
Perbincangan itu disahkan Anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang memberitahu Malaysiakini isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuaratnya pada 25 Januari lalu.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.
“Isu itu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang terkini, memandangkan Datuk Zuraida dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.
“Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.
“Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.
Zuraida, merupakan menteri industri perladangan dan komoditi, yang juga bekas naib presiden PKR.
Dia dipecat daripada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berikutan peranannya dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, dua tahun lalu.
Dia kemudiannya menyertai Bersatu bersama bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang turut dipecat PKR kerana peranannya dalam menumbangkan kerajaan PH.
Kedua-dua mereka kemudiannya dilantik menganggotai MPT Bersatu.
Sejak itu, Zuraida dikhabarkan merancang menubuhkan parti politik baru. Khabar angin itu semakin kuat apabila beberapa bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan Zuraida dan Azmin mengasaskan PBM pada akhir tahun lalu.
Pada Disember lalu, bekas setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak
Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.
Sementara itu Faiz berkata mesyuarat MPT Bersatu juga membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap tokoh lain dalam Bersatu yang terlibat dengan PBM, dan mereka yang telah berpaling tadah tetapi masih memegang jawatan dalam kerajaan yang mereka perolehi atas tiket Bersatu.
“Semua ini akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti di bawah Datuk Seri Faizal sebagai pengerusinya, jika ada laporan daripada akar umbi,” katanya merujuk kepada timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Mengenai Zuraida, Faiz berkata MPT Bersatu akan menyerahkan isu itu kepada Biro Disiplin dan Biro Politik parti.
“Secara peribadi, saya melihat beliau tidak lagi mempunyai sebarang kesetiaan kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya.
“Ini berdasarkan maklumat dari dalam yang saya dapat mengenainya, dari ahli MPT sendiri yang berkomunikasi dengannya,” tambah Faiz.
Namun kata Faiz, dia berpendapat Zuraida juga perlu dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya.
Katanya, semua dakwaan terhadap Zuraida dan pihak lain yang terbabit dalam isu PBM perlu disiasat supaya ada bukti yang jelas.