Terkini: Muhyiddin ugut saman 10 Juta pada MT Umno

Muhyiddin Yassin menuntut ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah perdana menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.

Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Puad semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

“Kami diarahkan bahawa kenyataan tersebut mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan yang ditandatangani oleh peguam Muhyiddin.

Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini, maka kami akan mengambil tindakan guaman terhadap anda,” katanya.

Difahamkan surat tuntutan tersebut dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan secara tangan kepada Puad.

Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana perdana menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

FMT