Terkini : Naib Presiden Bersatu tarik diri PRN Sarawak, mohon maaf lawan GPS

Datuk Ali Biju hari ini membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di DUN Krian.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada hari penamaan calon menamakan dirinya untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian.

Ali merupakan Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini bertanding untuk mempertahankan kerusi Krian yang dimenanginya sejak 2011.

Dengan tindakan tersebut persaingan untuk mengisi kerusi DUN berkenaan kini menjadi pertembungan tiga penjuru.

“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN N39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kecewa dengan tindakan Ali yang bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata tindakan itu melanggar perjanjian dibuat Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjamin partinya tidak akan terbabit dalam Pilihan Raya Negeri Negeri (PRN) Sarawak.

Abang Johari berkata, GPS menunggu bentuk tindakan yang bakal diambil BERSATU terhadap Ali.

“Tan Sri Muhyiddin membuat kenyataan media akan mengambil tindakan kepada Ali Biju, (jadi) kita tunggu.

“Sudah tentu saya kecewa kerana ada perjanjian khusus kerana beliau (Muhyiddin) beritahu tiada calon BERSATU dalam PRN Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, Ali memenangi kerusi DUN Krian ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai BERSATU selepas ‘Langkah Sheraton’.

sumber : https://suara.tv/09/12/2021/ali-biju-tarik-diri-tak-jadi-rebut-dun-krian/

COMMENTS