Terkini : Neelofa dan suami dilepaskan dari tuduhan langgar SOP

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas tanpa membebaskan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Ismail daripada tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pada 2 Mei lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu terhadap kedua-dua tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling, menarik balik semua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 21 Disember ini bagi membuat keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh berkenaan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Sementara itu, peguam bela pasangan itu, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah, ketika ditemui di luar bilik perbicaraan, berkata pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Noor Neelofa atau Neelofa.

“Pihak pendakwaan juga sudah menerima dokumen representasi yang kita kemukakan sebelum ini dan Peguam Negara bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.

“Satu proses kompaun akan berlaku, sama ada hari ini atau esok (nominal amaun) dan selepas bayar, kita datang balik, sebab kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ia neutral, tidak ada rekod langsung.

“Kita akan kembali di sini pada 21 Disember nanti untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan.

“Sungguhpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan,” katanya

Peguam kanan itu berkata, perkara itu tidak harus dipanjangkan atau berlarutan lagi kerana keadaan Neelofa yang sedang hamil dan tidak sesuai kes berkenaan terus berjalan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan kadar kompaun yang akan dikenakan, namun menjangkakan ia adalah rendah.

“Kami berpuas hati dengan keputusan perbicaraan hari ini, jadi pada 21 Disember nanti keputusan akan dibuat daripada melepas tanpa membebaskan (DNAA) kepada dilepas dan dibebaskan (DNA),” katanya.

Terdahulu, Neelofa dan Muhammad Haris tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 9.30 pagi.

Neelofa yang berjubah kebiruan dan Muhammad Haris berbaju sut biru memasuki pintu pengawal kompleks dengan mengikut SOP ditetapkan.

Mereka kemudian menuju ke kamar bicara sambil diiringi Muhammad Shafie dan beberapa peguam bela yang lain.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/893912/neelofa-suami-dilepas-tanpa-bebas

COMMENTS