Terkini : Peguam dakwa lantik Ketua Polis Negara semasa darurat adalah salah

Berdasarkan Akta Polis 1967, Ketua Polis Negara tidak boleh bersara semasa tempoh darurat masih berkuatkuasa, demikian menurut Peguam Mohd Fitri Asmuni.

Justeru, beliau meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kerajaan Malaysia memberikan penjelasan mengapa berlakunya pelantikan Ketua Polis Negara yang baru.

Sedangkan katanya, Seksyen 15 Akta Polis 1967 (Akta 344), jelas menyebut bahawa tiada seorang pun “Pegawai Polis” boleh bersara semasa darurat masih berkuatkuasa.

Seksyen 2 Akta 344 mentafsirkan pegawai polis sebagai “Seseorang anggota Polis Diraja Malaysia”;

Seksyen 4 Akta 344 pula menyatakan bahawa, “Pasukan hendaklah di bawah perintah KETUA POLIS NEGARA yang adalah seorang PEGAWAI POLIS…”.

Ertinya kata beliau jawatan Ketua Polis Negara hanya boleh disandang oleh seseorang yang menjadi pegawai polis sahaja.

“Ia tidak boleh dilantik dari kalangan orang politik atau sesiapapun selain dari seorang pegawai polis,” katanya.

Oleh itu, jelas beliau perkataan pegawai polis yang ada di dalam s. 15 Akta 344 tersebut turut merujuk kepada jawatan Ketua Polis Negara yang menjadi ketua pasukan kepada Polis Diraja Malaysia.

Acryl Sani telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru pada 4 Mei bagi menggantikan Hamid Bador di mana Kontrak dua tahun Hamid akan tamat pada Isnin.

Hamid, yang akan mencecah usia 63 pada 7 Ogos, menandatangani kontrak pasca-persaraan selama dua tahun untuk menjadi Ketua Polis Negara pada 2 Mei 2019, apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan.