Terkini : Pemimpin Myanmar Suu Kyi dipenjara empat tahun

Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dipenjara empat tahun oleh Junta Myanmar kerana didakwa menyebarkan hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan COVID-19.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, berkata Suu Kyi, hari ini dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana menyebarkan hasutan terhadap tentera dan dua tahun lagi penjara kerana didapati gagal mematuhi peraturan bencana berkaitan COVID-19.

Katanya, Win Myint, juga dikenakan hukuman penjara untuk tempoh selama empat tahun berikutan pertuduhan sama, tetapi bekas presiden itu belum dibawa ke penjara.

“Mereka bakal pertuduhan lain dari tempat mereka tinggal sekarang,” katanya merujuk kepada pusat tahanan di Naypyidaw tanpa memberikan butiran lanjut.

Wartawan dihalang untuk mengikut prosiding yang berlangsung di mahkamah khas, dekat Naypyidaw dan peguam Suu Kyi juga berdepan kekangan sama serta tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Amnesty International mengutuk hukuman yang dijatuhkan terhadap Suu Kyi.

“Hukuman keras dikenakan terhadap Aung San Suu Kyi bersandarkan pertuduhan tidak berasas adalah contoh terbaharu kesungguhan tentera untuk menghapuskan semua pembangkang dan meragut kebebasan di Myanmar.

“Keputusan mahkamah yang korup dan tidak masuk akal ialah sebahagian daripada corak hukuman secara jelas sehingga menyaksikan lebih 1,300 orang terbunuh dan ratusan diberkas sejak kudeta tentera pada Februari lalu,” kata timbalan pengarah serantau Amnesty untuk kempen, Ming Yu Hah.

Penasihat kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa Myanmar, Richard Horsey, pula memaklumkan hukuman sedemikian ialah cerminan kepada kekuasaan dan balasan yang sedang ditunjukkan tentera junta.

“Menjadi suatu perkara mengejutkan jika Suu Kyi dihantar ke penjara. Besar kemungkinan, beliau hanya akan menjalani hukuman dan sebarang lanjutan di rumahnya atau rejim ‘rumah tamu’,” katanya. – AFP